Thursday, June 19, 2014

Konsep Asas dan Mudah bagi Proses memahami Penyelidikan

KONSEP ASAS DAN MUDAH PROSES PENYELIDIKAN TINDAKAN


Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan para peserta memahami konsep asas dan proses penyelidikan tindakan.

Arahan:

(1)          Peserta diminta membaca artikel berikut:

Rosmah Onong. (2000). Kaedah pembelajaran koperatif dalam pengajaran Matematik: Keberkesanannya. Kertas kerja dibentang dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan Zon Sabah Tahun 2000, 21-22 September 2000. Kota Kinabalu, Sabah: Maktab Perguruan Gaya.

(2)          Soalan- soalan yang perlu dibincangkan:
·         Siapakah penyelidik?
·         Beliau menjalankan penyelidikan ke atas siapa dan mengenai apa?
·         Apakah masalah/fokus/amalan pengajaran dan pembelajaran penyelidik?
·         Apakah tindakan yang telah diambil oleh penyelidik?
·         Apakah kesan daripada tindakan yang telah diambil oleh penyelidik?
·         Apakah refleksi penyelidik?















ARTIKEL 1:

KAEDAH PEMBELAJARAN KOPERATIF DALAM PENGAJARAN MATEMATIK: KEBERKESANNYA

Oleh:
Rosmah Onong,
SM St Mary Papar

ABSTRAK

Artikel ini saya karang untuk menceritakan bagaimana saya mencari cara yang paling sesuai untuk mengajar matematik di kelas IB iaitu sebuah [sic] kelas yang lemah dalam hampir kesemua subjek. Ramai di antara pelajar tersebut mempunyai masalah kerana tidak mempunyai kekuatan dan keberanian untuk bertanya semasa berada dalam kelas.  Bila mereka tidak faham mengenai sesuatu pengajaran mereka mengambil langkah berdiam diri dari bertanya. Walau bagaimana pun selepas menjalankan kajian saya dapati kaedah pengajaran koperatif amat berkesan kepada pelajar-pelajar kelas tersebut.

LATAR BELAKANG KAJIAN


Apabila beberapa orang pensyarah dari Maktab Peerguruan Gaya datang ke sekolah dan memperkenalkan kajian tindakan kepada sekumpulan guru-guru yang mengajar mata pelajaran tertentu, saya merasakan ianya merupakan satu lagi tambahan beban kerja yang diberikan kepada guru. Tidak pasti tentang apa itu ‘Action Research’ pada mulanya, maka saya telah mula membuat pelbagai andaian yang buruk-buruk belaka.  Bagaimanapun apabila mengikuti sesi bersama dengan pensyarah-pensyarah tersebut maka saya dapati ianya amat menarik dan boleh menyumbangkan sesuatu dalam proses pengajaran dan pembelajaran kelak.  Kebimbangan akhirnya terjawab bila panduan dan bimbingan yang berterusan diberikan oleh pihak terbabit.


Nota: Artikel 1 ini merupakan sedutan artikel yang dipetik tanpa pindaan dibuat oleh panel penggubal. 




FOKUS KAJIAN SAYA

Siapakah fokus saya?

Sungguh sukar untuk memulakan kajian ini kerana rata-rata pelajar sungguh lemah. Mereka juga seperti saya, yang tidak tahu apa yang hendak saya buat.  Bagaimana harus saya membuat kumpulan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai yang lemah berbanding yang pandai (jurnal: 26 April 2000).

Saya mengajar kelas 1B yang terdiri dari 45 orang pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dalam hampir semua subjek. Mereka kebanyakannya datang dari keluarga yang kurang mampu dan mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Mereka lemah sehinggakan sifir darab dua pun tidak hafal. Rata-rata mereka hanya mampu mendapat markah 40% dan kurang semasa ujian kelompok yang pertama (Mac 2000).

“Siapa tidak faham?” Saya sering mengemukakan pertanyaan tersebut. Jarang sekali ada pelajar yang berani mengaku mereka tidak faham sama ada secara langsung mahupun dengan mengangkat tangan. Saya beranggapan mereka takutkan saya, tetapi saya masih merasakan pelajar tersebut begitu rapat dengan saya kerana ada di antara mereka berjumpa dengan saya sendirian. Oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa mereka tidak mesra dengan rakan sekelas dan tidak mahu pelajar lain tahu mereka tidak tahu atau tidak faham. Oleh itu fokus utama saya ialah membuatkan mereka bergaul dan berbincang dalam kumpulan.

Saya lihat para pelajar mula bekerja secara berkumpulan. Hampir semua menonggeng untuk mengambil bahagian dalam perbincangan kali ini. Ketua nampaknya sibuk sekali. Mereka selalu menggunakan ketua sebagai saluran untuk berhubung secara terus dengan saya. Bising juga. Mereka sudah mula bergaul (Jurnal, Mei 2000).

Selepas menerima reaksi yang baik dari para pelajar maka saya terus memilih kaedah pembelajaran koperatif kerana dari makluman yang saya dapat bahawa kaedah ini banyak membantu pelajar bekerjasama.



TINDAKAN SAYA


Pada mulanya saya membahagikan semula pelajar-pelajar tingkatan 1B mengikut kumpulan. Oleh kerana lebih ramai yang lemah dari yang pandai maka saya meletakkan seorang yang pandai bagi setiap kumpulan. Saya juga memperkenalkan sistem markah dan denda (merit dan demerit) bagi soalan yang diselesaikan secara berkumpulan.

Setiap hari saya mengajar seperti biasa dan saya juga sering memberikan banyak contoh sehingga saya merasakan mereka memahaminya terutama kepada pelajar-pelajar yang pandai. Kemudian saya pun memberikan mereka soalan-soalan untuk diselesaikan bersama. Mereka digalakkan berbincang dan saya kemudian meminta beberapa orang pelajar untuk menyelesaikan soalan tersebut di papan tulis.

Saya menekankan kepada semua pelajar bahawa setiap ahli mesti boleh menyelesaikan soalan tersebut, boleh mempertahankan jawapannya, boleh menerangkan jika diminta berbuat demikian.  Mereka harus memastikan ahli-ahli kumpulan tahu dan faham kehendak soalan.  Jika kumpulan berjaya menjawab soalan maka mereka akan diberikan merit. Jika tidak mereka akan diberi demerit.  Pelajar-pelajar ini sungguh ‘sensitif’ dengan sistem pemarkahan merit dan demerit yang diamalkan di sekolah.

Selalunya pelajar yang saya pilih untuk menjawab adalah pelajar yang kurang pandai. Maka ahli kumpulan akan berusaha untuk memberi pemahaman kepada pelajar tersebut.

HASIL YANG SAYA LIHAT


Saya dapati pelajar tingkatan 1B lebih cergas dan aktif sepanjang tempoh pengajaran. Mereka tidak lagi duduk dan menunggu untuk menyalin dari orang lain. Mereka yang lemah berusaha untuk menguasai sedapat mungkin kerana mereka tidak mahu menjadi punca sekumpulan diberi demerit.   Untuk mengharapkan mereka menjadi lebih pandai sekaligus  dan cepat, adalah mustahil namun ianya merupakan satu permulaan yang baik.

Dari kaji selidik yang dibuat, 80% pelajar lebih suka kepada kaedah  belajar secara berkumpulan berbanding individu. Mereka lebih senang bertanya dengan rakan-rakan mereka dari bertanya pada guru.  Saya selalu mengingatkan mereka dari semasa [sic] ke semasa tentang pentingnya mereka bekerja dalam kumpulan.

Dalam ujian kelompok bulan Julai, peratus kelulusan dalam matematik meningkat ke 44% dari 37% iaitu seramai 19 orang pelajar lulus dan 24 orang gagal.  Kualiti juga meningkat, terdapat 2 orang pelajar memperolehi gred A, malahan bila saya menguji sekali lagi melalui ujian subjektif, pelajar tersebut masih boleh mengekalkan pencapaian gred A. Saya tidak percaya pada keajaiban tetapi saya percaya mereka boleh berjaya jika mereka berusaha dan terus berusaha.

KESIMPULAN SAYA TENTANG KAJIAN TINDAKAN INI


Selepas menjalankan kajian tindakan ini saya dapati kaedah pengajaran koperatif ini amat sesuai dan memberikan kesan yang baik kepada para pelajar. Pada mulanya saya selalu putus asa menghadapi kelas 1B namun selepas diperkenalkan dengan kajian tindakan dan juga kaedah koperatif, saya sudah bersedia dan tahu apa yang perlu saya buat untuk menggalakkan mereka, menggerakkan mereka agar mereka berusaha dan tidak terus menerus mengharapkan rakan-rakan untuk meniru sahaja.