Sunday, July 29, 2012

ADAKAH KAEDAH SAINTIFIK BOLEH DIAJAR ?

            Sebelum menjawab soalan ini, mari kita lihat sejarah perkembangan pendidikan sains di Amerika. Dua tahun selepas pelancaran kapal angkasa Sputnik oleh Rusia satu persidangan telah diadakan di Woods Hole, Massachusetts dan dipengerusikan oleh Jerome Bruner, seorang professor psikologi di Harvard bagi membincangkan mengenai pendidikan sains di Amerika Syarikat.
 Semasa persidangan tersebut para peserta telah mencapai kata sepakat bahawa  pelajar yang mempelajari Sains perlu belajar seperti mana saintis mengkaji Sains. Kimia perlu dipelajari seperti ahli Kimia mengamalkan profesionnya; Fizik perlu dipelajari seperti ahli Fizik menyiasat Dunia Fizikal; Biologi perlu dipelajari seperti ahli Biologi mengkaji proses-proses kehidupan.(David Jerner Martin 3rd ed pg19)
Sehubungan dengan rumusan tersebut, timbul pula persoalan “Bagaimana saintis mengkaji Sains?”. Jawapan kepada persoalan ini didapati ahli sains mengkaji Sains dengan mengaplikasi proses sains sehingga memahami fenomena, menjawab persoalan,membina teori, menemui maklumat-maklumat tentang sesuatu perkara atau mencabar kesimpulan oleh orang lain.
Dua belas proses yang membentuk usaha saintifik adalah :
-          Memerhati
-          Mengelas
-          Berkomunikasi
-          Mengukur
-          Meramal
-          Menginferens
-          Mengenal pasti dan mengawal pembolehubah
-          Membentuk dan menguji hipotesis
-          Menterjemah data
-          Mentafsir secara operasi
-          Mengeksperimen
-          Membentuk model (David Jerner Martin pg 8)

Ekoran daripada itu, elemen kemahiran proses sains telah dimasukkan ke dalam kurikulum Sains. Banyak program-program pembelajaran Sains yang menekankan pendekatan penemuan ‘hands-on’ telah diwujudkan diantaranya ‘Elementary Science Study(ESS)’ , Science Curriculum Improvement Study’ (SCIS) dan lain-lain. Program-program ini menekankan pendekatan penemuan dimana guru bertindak sebagai fasilitator  membantu pelajar meneroka sesuatu fenomena. Diantaranya SCIS yang dibangunkan oleh Dr Robert Karplus, seorang ahli Fizik Teorikal di Berkeley.
Beliau telah mencadangkan “Kitar Pembelajaran” untuk memberi panduan kepada guru  untuk membimbing pelajar bagi membuat penemuan. Di dalam “Kitar Pembelajaran” ini,  terdapat tiga fasa untuk mengajar iaitu;
1.      Fasa penerokaan – pelajar meneroka sesuatu konsep. Penerokaan ‘hands-on’     
                                     dibimbing oleh guru.
2.      Fasa penerangan  dan penemuan konsep- penemuan pelajar dikukuhkan
                                                                         dengan  pengetahuan sains terkini    
                                                                          oleh guru
3.      Fasa penemuan- pelajar digalakkan meneroka konsep tersebut dengan lebih mendalam.

Begitu juga di negara kita, apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah(KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan;  disarankan mata pelajaran Sains diajar dengan Pendekatan Konstruktivisme serta kemahiran proses sains merupakan salah satu elemen yang perlu dikuasai oleh pelajar.
    

No comments:

Post a Comment